Thanks for visiting! HaVe Fun N HaPpY Go LucKy!!! Don'T ForGet To Be OnE oF My FoLLoWerZ

Monday, March 29, 2010

Air Dicincang Tidak Akan Putus

KASIH SAYANG SEORANG ADIK AKHIRNYA AKAN MEMBAWA KEBAIKAN KEPADA SEMUA ORANG....

-------------------------------------------------------------

Hujan turun dengan lebatnya pada malam itu. Faris yang berada di dalam biliknya melihat ke luar tingkap. Dia melihat dua ekor kucing miliknya sedang bergaduh di luar rumahnya dengan keadaan yang dibasahi dengan hujan. Tiba-tiba sahaja, Faris teringat kepada adiknya yang sekarang berada di asrama. Mereka sering beselisih faham .Kedua-duanya tidak sefahaman. Hampir setiap hari ada sahaja perkara yang boleh membangkitkan pertelingkahan.. Namun, Danial sering menjadi mangsa pergaduhan mereka. Danial hanya menerima segala tuduhan dan tohmahan dari abangnya. Sikap ini bukan menunjukan Danial kalah atau memang bersalah. Tetapi hanya untuk meredakan keadaan dan ingin memenuhi kepuasan abangnya. Kasih dan sayangnya pada abang tertanam dalam hatinya.

Hatinya selalu berbisik “ Walau apa pun yang terjadi, kasih dan sayang aku terhadap abangku tidak boleh ditukar ganti . Hanya itulah anugerah yang bernilai sebagai saudara kandung ”. Sebenarnya, Danial hanya mempunyai seorang abang. Mereka hanya dua beradik dalam keluarga. Namun bagi Danial, kasih sayang yang tumpah pada mereka tidak pernah dibahagi dua oleh ibu yang tersayang.

Faris yang sedang mengelamun, dikejutkan dengan deringan telefon di sudut ruang tamu. Faris segera mengangkat gagang telefon tersebut.

“Ini ibu. Ibu pulang lambat,ye. Ibu nak ambil Danial. Minggu ni cuti sekolah. Ibu harap kamu jangan cari masalah dengan dia.” Rupa-rupanya Hasnah yang menghubungi Faris. Hasnah merupakan ibu Faris dan Danial. Hasnah juga merupakan seorang ibu yang baik, sabar dan penuh dengan kasih sayang. Dialah yang akan meleraikan pergaduhan antara Faris dan Danial. Hasnah tidak pernah menyalahkan mana-mana anaknya. Kedua-duanya dilayan dengan penuh adil. Ini kerana hanya merekalah zuriat yang dikurniakan Allah. Betapa bersyukurnya Hasnah dengan anugerah ini.

“Faris tak janji,bu...” Kata Faris dengan suara yang mendengus tanda protes. Kemudian, Faris terus meletakkan gagang telefon.

Faris meletakkan kepalanya ke atas katil sambil memikirkan apa yang akan terjadi sekiranya adiknya pulang ke rumah. Tidak lama selepas itu, Faris terlena di atas katil. Tidur nyenyaknya pada petang itu terganggu dengan deruan bunyi enjin kereta. Dia lantas menjenguk ke luar tingkap. Dia berasa lega apabila melihat ibu dan adiknya berada di luar rumah. Dia segera keluar dari bilik dan menuju ke arah ibu dan adiknya. Faris melihat banyak barang berselerakan di dalam kereta. Dia hanya melihat ibu dan adiknya mengangkat barang-barang tersebut tanpa membantu mereka. Dengan tiba-tiba sahaja, Faris terlihat sebuah kotak yang sedang dipegang oleh adiknya. Apa lagi, Faris terus merampas kotak tersebut dan membukanya.

“Bagi balik! Itu milik adik.” Danial cuba untuk merampas kotak itu semula tetapi tidak berjaya. Faris membuka kotak tersebut dengan perasaan ingin tahu. Alangkah terkejutnya Faris apabila melihat sepasang kasut sukan yang cantik. “Ini milik abang,ye?” Kelihatan muka Danial kemerah-merahan tanda dia tidak menyukainya. “Wah cantik betul. Kasut ini hanya sesuai untuk abang sahaja. Tidak sesuai untuk kaki yang tidak cantik seperti adik.” Sindir Faris. Dia sengaja berbuat begitu kerana tidak mahu adiknya dilebih-lebihkan. Dia tetap berkeras mahukan kasut itu menjadi miliknya walau apa pun yang terjadi. Sambil menyindir, Faris mencebikkan bibirnya bagi menimbulkan kemarahan adiknya.

“Ambil sahajalah!” Kata Danial beralah dengan perasaan marah.

“Tidak apalah adik. Ibu doakan adik akan dapat benda yang lebih bagus dari kasut tu. Sabar,ye.” kata Hasnah dengan suara yang lembut kepada Danial. Sekarang Danial mula tersenyum. Namun, Faris menunjukkan wajah yang geram kepada adiknya itu.

Sudah beberapa beberapa jam berlalu tetapi Faris dan Danial tidak berkata apa-apa. Rumah mereka begitu sunyi. Hasnah hanya dapat menggelengkan kepalanya.

“Masa untuk makan. Marilah makan bersama-sama.” Kata Hasnah memanggil kedua-dua anaknya itu. Danial lantas mengambil pinggannya yang dipenuhi dengan nasi ayam dan terus memakannya di atas sofa yang terletak di ruang tamu.

Marilah makan di sini, adik. Meja ini cukup untuk empat orang.” Kata Hasnah.“Tidak mengapa. Adik sudah biasa makan di sini. Ibu janganlah risau.” Danial berkata kepada ibunya tanpa melihat wajah ibunya yang kelihatan seperti seseorang yang amat kehairanan. Nasi ayam yang dibeli ibunya disuap ke mulut dengan lahapnya. Baginya, inilah masa untuk melepaskan geram kerana, selama dia berada di asrama, makanan yang disediakan tidak memenuhi seleranya.

“Biarkan sahaja. Lagi pun dia tak kisah. Jangan nak layan budak itu.” Faris berkata dengan suara yang kasar.

Selepas Faris selesai makan, dia terus menuju ke biliknya. Dia dan Danial tidur sebilik, tetapi Faris menganggap bahawa bilik itu miliknya. Dia tidak suka berkongsi apa-apa dengan orang lain. Semasa di bilik, Faris terjumpa sebuah buku catatan milik Danial. Faris melihat ke kanan dan ke kiri. Kemudian, dia tersenyum lebar dan terus membaca buku catatan adiknya itu. Faris membaca satu catatan yang menarik baginya.

Catatan tersebut tertulis‘Bilakah Faris akan berubah. Perangai dia terlalu teruk bagi saya. Dia selalu membuli saya. Saya sayang Faris tetapi saya tak pernah melihat dia menunjukkan kasih sayangnya kepada saya Adakah dia tidak menyayangi atau tidak menyukai say?. Dia selalu ingat yang ibu menyayangi saya lebih. Ibu kat, dia sayang kami sama rata. Saya tahu ibu tidak akan pilih kasih.’

Beberapa minit kemudian, Faris terdengar hentakan kaki seseorang. Faris segera meletakkan kembali buku catatan tersebut dan berdiri di sebelah katil Danial. Danial memasuki bilik itu dan menuju ke katinya. Danial juga turut menunjukkan wajah kehairanan kepada Faris. “Abang buat apa?” Kata Danial. “aku tak buat apa-apa pun. Kau peduli apa. Tepilah aku nak ke katil aku.” Faris melanggar Danial dan segera baring di atas katilnya yang lebih besar berbanding katil adiknya. Dia baring di atas katil itu sambil memikirkan tentang catatan yang ditulis ole Danial.

Tiba-tiba, Danial bertanya kepada Faris, “Adik nak tanya. Kenapa abang suka buli adik? Apa yang adik telah lakukan. Dari dulu sampai sekarang abang masih membuli adik.” Danial memandang ke arah abangnya. Namun, Danial hanya mampu tersenyum apabila melihat abangnya telah tidur dengan begitu nyenyaknya. Danial berdiri dan terus menuju ke ruang tamu.

Seminggu telah berlalu. Hanya tinggal dua hari sahaja untuk Danial pulang ke asramanya. Apa yang menghairankan Hasnah dan Danial ialah, Faris langsung tidak mencari masalah dengan Danial. Malah, Faris menghabiskan masanya berada di dalam bilik sambil membaca catatan harian Danial tanpa diketahui oleh sesiapa pun. Ini kerana, Faris telah mengunci pintu bilik dan melarang sesiapa untuk memasuki bilik itu termasuk Danial. Namun, Danial langsung tidak ambil peduli. Dia membiarkan abangnya berada di dalam bilik. Bagi Danial, Faris ingin melihat pemandangan di luar tingkap biliknya untuk melapangkan fikiran.

Pada petang itu, entah mengapa Faris keluar dari bilik dan terus menuju ke arah ibunya yang berada di dapur. “Ibu, di mana adik? Saya nak bertanya sesuatu kepadanya.”kata Faris dengan suara yang lembut kepada ibunya. “Ada di ruang tamu agaknya. Ibu rasa dia sedang menonton televisyen .”

Kemudian, Faris mencari adiknya di ruang tamu. Tetapi adiknya tiada di situ. Faris pun memanggil adiknya itu. “Danial!!!” Faris memanggil beberapa kali. Selang beberapa saat, Faris terdengar suara adiknya di luar rumah.

Faris segera ke taman bunga yang terletak di belakang rumahnya dan mendapati adiknya berada dis itu. “Abang nak apa?. Abang ada masalah ke?” Kata Danial tanpa memandang abangnya. “Ya. Kau pernah tanya kenapa aku suka buli kau. Betul tak?” kata Faris. “Ya. Tapi macam mana abang tahu. Setahu saya, saya tanya abang seminggu yang lalu. Lagi pun masa itu abang sudah tidur.” Tanya Danial kehairanan.

“Untuk pengetahuan kau, aku tak tidur pun masa itu. Aku malas nak jawab soalan kau tu. Sebenarnya, aku tak suka kau. Kau selalu menjadi kesayangan ibu. Lagi satu, kau tu disukai semua orang.” Kata Faris.

Danial berkata dengan suara dan perasaan yang marah. “Abang tahu tak yang ibu sayangkan kita berdua. Ibu tak pernah pilih kasih. Begitu juga adik. Sebenarnya perangai abang tu yang teruk sangat. Lagi pun abang kan sudah baca perkara ni dalam buku catatan saya. Semua jawapan yang abang cari ada di dalam buku catatan tu. Tak mungkin kalau abang tak tahu jawapannya.” Kata Danial. Wajahnya berubah menjadi kemerah-merahan. Begitu juga Faris.

“Macam mana kau boleh tahu? Setahu aku, aku telah mengunci bilik kau semasa aku membacanya. ” kata Faris dengan perasaan yang malu.

“Adik sudah mengetahuinya sejak seminggu yang lalu. Adik nampak masa adik nak masuk dalam bilik. Cuma adik diam je. Sudah! Adik nak bersiap untuk esok. Abang tahu kan yang adik akan balik ke asrama esok. Pasti abang seronok.”

Danial berlari dari taman bunga itu dan menuju ke dalam biliknya. Faris berasa amat terkejut dan tidak mampu berkata apa-apa.

Keesokan harinya, Danial menuju ke kereta dan lantas masuk ke dalam kenderaan milik ibunya itu. “ Faris nak ikut? Lepas ni dah tak jumpa Danial ni. Tak nak ucap apa-apa ke kat dia?” kata Hasnah. “Tak. Ibu tolong bagi kotak ni kat adik. Bagi masa adik dah sampai kat asramanya. Janji tau, ibu.” Kata Faris sambil memandang ke arah Danial. “Baiklah. Ibu janji. Abang jangan risau.”kata Hasnah sambil memberi senyuman manis kepada Faris.

Sesampainya Danial di asramanya, Hasnah terus memberi kotak tersebut kepada Danial. “Abang yang bagi. Dia minta ibu bagi kepada kamu.”

Danial berasa amat terkejut apabila melihat kasut sukan yang Faris rampas darinya berada di dalam kotak tersebut. Namun, apa yang membuatkan Danial berasa hairan apabila terdapat sehelai kertas yang tertulis…

Abang minta maaf di atas perangai abang selama ini. Abang tahu abang selalu buli adik walaupun adik tak buat apa-apa kesalahan pun. Abang cuma tak boleh tengok adik hidup dengan tenang. Abang tahu kesalahan abang ni. Cuma abang tak boleh kawal. Abang harap adik akan maafkan abang. Oleh itu, abang pulangkan balik kasut sukan adik ni. Abang tahu adik suka sangat kasut sukan ini. Lagi pun abang dah ada banyak kasut sukan di rumah. Sau lagi, abang sentiasa menyayangi adik. Abang harap adik akan berjaya dalam kehidupan adik. Abang janji yang abang tidak akan BULI adik lagi…’

Adik dah lama maafkan abang. Adik pun menyayangi abang. Harap kita dapat berjumpa lagi pada tahun hadapan. Seperti kata pepatah melayu ‘air dicincang tidak akan putus’. Adik percaya hari ini akan terjadi juga. Ini merupakan kenangan paling manis dalam kehidupan adik. ” Kata Danial di dalam hati kecilnya.

“Ibu, adik harap bila adik pulang ke rumah semasa cuti sekolah akan dating, keluarga kita akan lebih rapat dan harmoni.” Sepanjang hidup Danial, dia inginkan kebahagiaan di dalam kehidupannya dan ingin perubahan yang besar pada abang kesayangannya itu.







HASIL KARYA: NUUR DIANA SYUHADA (ADMIN OF iDianaZone)














~TAMAT~








0 comments:

Post a Comment

Snow Link Welcome

Saving CB